SELAMAT DATANG KE BLOG CIKGU TUM DAN MARI BELAJAR BAHASA MELAYU BERSAMA-SAMA SAYA! TERIMA KASIH.

”Selamat Datang ke Blog Saya dan Mari Belajar Bahasa Melayu”

Bersama-sama memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkasa Bahasa Inggeris

Thursday 3 April 2014

                       PLOT 
BINAAN PLOT DAN TEKNIK PLOT

Plot bermaksud jalinan cerita atau peristiwa dalam sesebuah cereka. Jalinan tersebut berkembang berdasarkan hukum sebab dan akibat. Peristiwa atau cerita itu selalunya dijalin secara kronologi atau tidak secara kronologi. Jika peristiwa dijalin secara kronologi bermaksud peristiwanya disusun mengikut urutan masa. Sementara itu, jika peristiwa tidak dijalin secara kronologi, bermaksud peristiwanya tidak disusun mengikut urutan masa. Biasanya plot sesebuah novel terbahagi kepada dua iaitu binaan plot dan teknik plot.

Binaan Plot
Binaan plot bermaksud plot cerita terbina daripada beberapa bahagian penting. Kebiasaannya, binaan plot terdiri daripada lima bahagian, iaitu permulaan (eksposisi), perkembangan, perumitan, puncak (klimaks), dan peleraian. Bahagian permulaan atau eksposisi merupakan bahagian yang memperkenalkan watak-watak. Watak-watak akan diperkenalkan dari segi fizikal, emosi serta berkaitan dengan persekitaran dan watak-watak lain. Kemudian watak-watak itu akan berkembang dan berinteraksi pada bahagian perkembangan cerita. Seterusnya, perhubungan antara watak itu akan menimbulkan konflik yang kemudiannya menjadi rumit pada bahagian perumitan. Pada peringkat tersebut selalunya konflik akan berterusan dan menjadi bertambah rumit.

Plot akan terus bergerak ke bahagian puncak atau klimaks cerita. Pada peringkat ini, keadaan menjadi semakin mendebarkan, kritikal, ngeri, dan cemas akibat konflik atau pertentangan antara watak. Selanjutnya, bahagian puncak itu akan mencapai ke satu tahap, iaitu sampai ke tahap penyelesaian. Akhirnya, plot bergerak terus ke tahap peleraian, iaitu semua konflik dan pertentangan akan diselesaikan atau terlerai.

Permulaan (Eksposisi)
Pada peringkat ini pembaca diperkenalkan dengan watak utama novel ini iaitu Fuad. Selain itu pengarang juga memperkenalkan watak-watak sampingan lain seperti Farhana, Pak Ismail, Mak Salmah, dan Cikgu Abas. Perkara ini dibuktikan dalam bahagian-bahagian awal novel ini. Sebagai contohnya, dalam bahagian awal novel ini, pengarang menceritakan Fuad yang lewat pulang pada suatu senja kerana mencari kayu api telah menyebabkan Pak Ismail dan Mak Salmah berasa bimbang. Kita juga mengetahui bahawa Fuad ialah seorang mualaf yang taat akan agama iaitu tidak pernah meninggalkan solat lima waktu dan dia selalu menunaikan solat berjemaah di surau. Dia juga rajin membaca al-Quran dengan bimbingan Pak Ismail. Kita juga mengetahui bahawa Fuad sebenarnya anak angkat kepada Pak Ismail dengan Mak Salmah.

Perkembangan
Dalam bahagian ini, pengarang memaparkan perkembangan cerita iaitu Fuad telah memulakan tugasnya sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia dan dia cuba menyesuaikan diri dan bekerjasama dengan Farhana yang menjadi Ketua Panitia Bahasa Inggeris di sekolah itu. Seterusnya pengarang mengembangkan cerita seterusnya dengan menjelaskan hasrat Fuad untuk mencari kubur ibunya. Sebagai contohnya, Fuad menyatakan hasratnya itu kepada Pak Ismail dan Mak Salmah dan mereka berdua tidak menghalangnya. Seterusnya, dia berusaha untuk mencari kubur emaknya itu melalui maklumat daripada Peter Lim dan Swee Lan, bapa dan ibu saudaranya. Akhirnya, Fuad dibantu oleh Pak Said yang menawarkan diri untuk mencari kubur ibunya itu. Hubungan Fuad dengan Farhana pula menjadi semakin rapat pada peringkat ini.

Perumitan
Dalam bahagian ini, Fuad mendapat maklumat daripada Pak Ngah Lias iaitu jiran datuknya iaitu Seman bahawa ibunya tidak meninggal dunia seperti yang disangkanya. Hal ini dibuktikan oleh Pak Ngah Lias bahawa mereka tidak mengetahui maklumat tentang kubur ibunya itu dan mereka juga tiada maklumat tentang kematian ibunya. Pak Samsudin, jiran Mariah iaitu kakak angkat emak Fuad mengatakan bahawa emak Fuad memang bersalin di Kuala Lipis tetapi tidak meninggal dunia. Perkara ini menyebabkan Fuad berasa lebih bersemangat untuk mencari ibu kandungnya. Sementara itu, hubungan Farhana dengan Cikgu Zamani pula menjadi semakin tegang. Hal ini terbukti melalui peristiwa pertengkaran antara mereka berdua akibat kesalahan Cikgu Zamani yang tidak masuk ke kelas semasa kelas lanjutan. Pada bahagian ini juga, ibu Farhana jatuh sakit dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan di Kuantan akibat penyakit lelah. Fuad pergi ke Kuantan dan menemani Farhana yang menjaga ibunya yang sakit di hospital.

Puncak (Klimaks)
Pada bahagian ini pengarang menggambarkan kepada kita tentang peristiwa Fuad terpandang nama ibu Farhana semasa dia menemani Farhana menjaga ibunya itu di hospital. Nama ibu Farhana iaitu Mariana binti Osman itu sama dengan nama emak kandungnya. Hal ini menyebabkan dia berasa terkejut dan mengharapkan agar jika ibunya masih hidup, tetapi bukannya emak Farhana. Setelah berbincang dan mendapatkan maklumat yang lebih lanjut daripada Farhana, Fuad akhirnya menerima hakikat bahawa emak Farhana itu juga ialah emak kandungnya. Walau bagaimanapun Farhana agak sukar untuk menerima hakikat bahawa dia dengan Fuad sebenarnya ialah adik-beradik yang berlainan bapa.

Peleraian
Fuad dan Farhana dapat menyesuaikan diri bahawa mereka berdua ialah adik-beradik. Robert Lim, iaitu ayah kandung Fuad juga mengesahkan bahawa Mariana iaitu emak Farhana itu juga ialah emak Fuad, iaitu isteri yang pernah dikahwininya suatu masa dahulu. Farhana juga sudah pulih daripada kejutan kerana mengetahui bahawa dia dengan Fuad ialah adik-beradik kandung. Perasaan sayang sebagai kekasih sebelum itu sudah berubah menjadi perasaan sayang kepada seorang abang kandung. Selain itu, Fuad telah diterima untuk mengikuti kursus KPLI untuk melayakkannya menjadi seorang guru yang terlatih. Seterusnya, Fuad membawa ibunya, Pak Ismail dan Mak Salmah menunaikan umrah dan ayahnya, Robert Lim mengatakan bahawa dia juga akan menyusul kemudian.

TEKNIK PLOT
Teknik plot merujuk kepada cara atau kaedah pengarang mengembangkan plot cerita supaya menjadi lebih menarik dan menambat hati pembaca. Perkara ini menyebabkan pembaca ingin meneruskan pembacaannya hingga ke penamat cerita. Biasanya, teknik plot yang digunakan ialah dialog, monolog, monolog dalaman, pemerian, imbas kembali, imbas muka, kejutan dan saspens.


TEKNIK PLOT 
Dialog 
Sebagai contohnya, Fuad berdialog dengan Borhan tentang rancangannya untuk membawa anak Borhan dan Masnah yang demam panas ke klinik pada suatu malam.

Monolog
Sebagai contohnya, Fuad berdoa dengan memohon kepada Allah agar hatinya menjadi tabah untuk menghadapi dugaan.

Monolog Dalaman 
contohnya pengarang menggunakan teknik ini semasa Fuad berkata dalam hatinya tentang nama ibu Farhana.

Pemerian 
contohnya pengarang menggambarkan keadaan di bandar Kuala Terengganu pada suatu pagi.

Imbas Kembali
Sebagai contohnya, Swee Lan teringat akan kepulangan Fuad pada suatu senja lebih setahun yang lalu.

Imbas Muka 
Sebagai contohnya, pengarang menggambarkan kemungkinan Cikgu Abas akan meluahkan perasaan marahnya kepada guru yang enggan melaksanakan tugas dalam mesyuarat guru esok harinya.

Saspens
Sebagai contohnya, peristiwa Fuad mendapati akaun banknya mengandungi wang lebih daripada dua ratus ribu ringgit telah menimbulkan perasaan ingin tahu para pembaca tentang wang yang begitu banyak yang terdapat di dalam akaun bank Fuad. Pembaca ingin tahu dari mana sumber wang tersebut diperolehnya.

Kejutan
Pengarang menggambarkan teknik ini melalui peristiwa Fuad yang terkejut apabila mendapati bahawa emak Farhana bernama Mariana binti Osman. Peristiwa tersebut mengejutkan para pembaca kerana pembaca tidak menyangka bahawa nama Mariana sama dengan nama ibu Fuad. Hal ini bermakna, mereka berdua ialah adik-beradik kandungnovel melunas rindu

No comments:

Post a Comment

Laman Guru Cemerlang

Kecekapan Berbahasa Guru Bahasa Melayu Dalam abad ke-21 ini, setiap guru Bahasa Melayu sama ada yang mengajar di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah mahu pun di institusi pengajian tinggi seharusnya memiliki kecekapan berbahasa yang baik. Selain empat kemahiran asas yang diberi penekanan dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari sgei kemahiran berbahasa, guru-guru Bahasa Melayu juga perlu menguasai kecekapan berbahasa antaranya seperti berikut:  Kecekapan berkomunikasi  Kecekapan berhujah dan membidas  Kecekapan berbincang dan mengulas  Kecekapan menyoal  Kecekapan menyatakan dan menghuraikan ilmu pengetahuan dan pendapat  Kecekapan membaca, memahami dan merumus teks  Kecekapan menganalisis dan mentafsir maklumat  Kecekapan membaca dan menaakul pelbagai bahan  Kecekapan membina ayat  Kecekapan menulis Guru-guru Bahasa Melayu dalam abad ke-21 perlu mempunyai tahap pengetahuan isi kandungan Bahasa Melayu yang baik. Perkembangan terkini dalam kurikulum pendidikan Bahasa Melayu sewajar diketahui oleh setiap guru. Antara pengetahuan isi kandungan Bahasa Melayu yang perlu difokuskan ialah:  Kesediaan guru Bahasa Melayu untuk menyampaikan bahan pengajaran merupakan perkara terpenting dalam pengendalian sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini bermakna pengetahuan guru Bahasa Melayu tentang isi kandungan Bahasa Melayu merupakan kesediaan terpenting untuk memastikan keberkesanan pengajarannya.  Pengetahuan substantif, iaitu pengetahuan tentang apa yang ada dalam fakta atau konsep yang digunakan untuk menyusun idea dan maklumat tentang sesuatu tajuk dalam mata pelajaran Bahasa Melayu berkenaan. Hal ini bermakna setiap guru Bahasa Melayu seharusnya memiliki pengetahuan substantif ini, terutamanya bagi tajuk-tajuk yang melibatkan isu-isu semasa.  Pengetahuan sintaktik, iaitu pengetahuan tentang cara bagaimana sesuatu perkara itu dibentuk dan dihasilkan berdasarkan prosedur, kaedah dan proses yang melaluinya, sesuatu kebenaran dan pengetahuan baru dapat dibina. Hal ini bermakna setiap guru Bahasa Melayu perlu mengukuhkan kefahaman konseptual pelajar dengan menggunakan contoh, analogi, hujah secara logikal dan berhujah menggunakan asas fakta yang tepat mengikut tahap pemikiran pelajar.  Penguasaan ilmu, iaitu setiap guru Bahasa Melayu perlu menguasai ilmu tatabahasa dan ilmu pedagogi Bahasa Melayu. Pengetahuan isi kandungan subjek yang berkaitan dengan sukatan, sama ada secara langsung atau tidak secara langsung merupakan faktor penentu kefahaman pelajar terhadap apa yang diajarkan oleh guru Bahasa Melayu berkenaan. Hal ini bermakna tanpa menguasai ilmu Bahasa 5 Seminar Bahasa Melayu 2011 Melayu, boleh mengganggu pemahaman dan pengetahuan pelajar tentang tajuk yang dipelajari. Rumusannya, tahap keberkesanan pengajaran guru Bahasa Melayu banyak bergantung kepada pengetahuan isi kandungan subjek dan kemampuan guru mengurus masa untuk dimanfaatkan sepenuhnya dalam pengajaran. Pengetahuan isi kandungan Bahasa Melayu yang baik juga membantu guru merancang pengajaran harian, mingguan dan bulanan secara sistematik dan bertulis. Pengetahuan pedagogi mengajar bermaksud setiap guru perlu mempunyai pelbagai pengetahuan berkaitan pedagogi mengajar. Dalam konteks pendidikan Bahasa Melayu, setiap guru Bahasa Melayu sewajarnya memahami dan menguasai pelbagai kemahiran mengajar/pedagogi terkini yang melibatkan kaedah, pendekatan, teknik dan strategi mengajar Bahasa Melayu. Dalam pengajaran, seharusnya pelajar merasai dan dapat memahami bahawa guru Bahasa Melayu mereka seharusnya lebih mahir dan lebih mengetahui sesuatu tajuk yang dibincangkan berbanding pelajar. Hal ini boleh dilihat antara lain melalui pedagogi mengajar yang guru gunakan.  Pendekatan pengajaran: Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, terdapat banyak pendekatan pengajaran yang boleh digunakan di dalam bilik darjah. Selalunya guru-guru Bahasa Melayu akan menggunakan pendekatan konvensional dan tradisi yang sudah biasa digunakan dalam pengajaran seperti deduktik, induktik dan komunikatif. Kini sepatutnya guru-guru Bahasa Melayu perlu meneroka kepada pendekatan pengajaran terkini dan sesuai dengan tahap kognitif, kepelbagaian pelajar, kesesuaian tajuk yang diajar dan sebagainya. Antara pendekatan terkini yang boleh digunakan ialah pendekatan masteri, kontekstual, konstruktif, koperatif, kolaboratif, penyebatian kemahiran, penggabungjalinan pelbagai displin ilmu dan pembelajaran berasaskan masalah.  Kaedah pengajaran: Terdapat banyak kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sewajarnya setiap guru Bahasa Melayu mengetahui dan menguasainya. Di dalam kelas kepelbagaian pelajar, kaedah mengajar berpusat pelajar seharusnya diberi penekanan oleh guru Bahasa Melayu. Antaranya ialah kaedah perbincangan, main peranan, penyelesaian masalah, pembelajaran atas talian, inkuiri, sumbang saran 6 Seminar Bahasa Melayu 2011 dan sebagainya. Kaedah pengajaran yang banyak berpusatkan guru dan bahan tidak digalakkan digunakan oleh guru.  Teknik pengajaran: Teknik pengajaran adalah perincian daripada penggunaan sesuatu kaedah yang digunakan. Teknik pengajaran lebih kepada pelaksanaan bagaimana sesuatu kaedah pengajaran itu dapat dilaksanakan dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Teknik pengajaran merupakan kemahiran guru dalam mengelola dan melaksanakan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Antara teknik mengajar yang biasa digunakan ialah teknik bercerita, bersyarah, perbincangan, demonstrasi, latih tubi, penyoalan, sumbang saran dan permainan. Tujuan menggunakan pelbagai teknik mengajar dalam situasi pengajaran adalah untuk menarik minat pelajar, mengekalkan perhatian serta membangkitkan rasa ingin tahu pelajar supaya mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran. Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Jika seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik yang ada pada sesuatu kaedah, maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak berhasil.  Strategi pengajaran: Peranan strategi pengajaran adalah lebih penting lagi jika kita mengajar pelajar-pelajar yang berbeza dari segi kebolehan, pencapaian, kecenderungan serta minat yang berbeza-beza. Kita perlu rancangkan pendekatan dan kaedah yang digunakan untuk mengajar kumpulan-kumpulan yang berbeza-beza itu. Contohnya, di dalam bilik darjah yang pelbagai tahap pencapaian, guru perlu memikirkan strategi pengajaran yang terdiri daripada pelbagai kaedah mengajar untuk memenuhi keperluan semua kumpulan. Di samping itu, setiap bilik darjah mempunyai halangan serta rintangan-rintangan yang tersendiri seperti keadaan fizikal, kemudahan bilik darjah, nilai, norma serta latar belakang sekolah dan pelajar. Lantaran itu, seseorang guru bukan sahaja mesti menguasai berbagai-bagai kaedah mengajar tetapi yang lebih penting lagi ialah bagaimana mengintegrasikan serta menyusun kaedah-kaedah itu untuk membentuk strategi pengajaran dan pembelajaran yang paling berkesan dalam pengajarannya.